UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.

Sabtu, 19 Januari 2013

Isu Bible dalam Bahasa Malaysia : PMBPP buat laporan polis?


Muhamad Fazmin (kiri) dan Salleh Ismail (tengah) menunjukkan kitab Bible yang diedarkan kepada pelajar beragama Islam serta gambar di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

Kira-kira 10 orang wakil ahli Persatuan Muka Buku Pulau Pinang (PMBPP) membuat laporan polis malam tadi berhubung satu gerakan yang dikesan mengedarkan kitab Bible versi bahasa Melayu kepada pelajar sekolah termasuk pelajar beragama Islam.

Pengerusinya, Salleh Ismail berkata, pihaknya mahu satu siasatan lengkap dibuat terhadap gerakan itu yang dilihat sengaja mahu menimbulkan ketegangan agama di antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tegasnya, tidak sepatutnya kegiatan berkenaan dilakukan terutamanya di hadapan sekolah dan melibatkan pelajar beragama Islam.

"Kegiatan ini sangat melampau dan sengaja mahu menyentuh sensitiviti agama, jadi kita mahu satu siasatan lengkap dibuat dan tindakan tegas diambil kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kita tidak mahu timbul pula ketegangan dan perbalahan ekoran gerakan begini yang sengaja mahu menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Jelutong tengah malam tadi.

Laporan itu dibuat PMBPP selepas menerima maklumat daripada ahli persatuan berkenaan, Muhammad Fazmin Premnazeer, 20.

Muhamad Fazmin menyedari kegiatan itu ketika sedang membantu datuknya yang membuka sebuah kedai makan di hadapan sebuah sekolah menengah di Jelutong kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Salleh dalam pada itu menambah, pihaknya juga mahu satu enakmen atau akta yang selari dengan perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dirangka bagi membendung gejala seperti itu di masa hadapan.


"Perkara 11 (4) itu jelas menyebut agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam, jadi mengapa berlakunya perkara seperti ini. Sudah lebih 50 tahun kita hidup aman dan menghormati sesama sendiri.

"Oleh itu jangan kerana perkara seperti ini, keamanan yang kita nikmati hari ini hilang begitu sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Fazmin berkata, dia terkejut apabila melihat dua lelaki yang mulanya disangka mengedarkan keratan promosi tertentu kepada pelajar sekolah sebaliknya mengedarkan kitab Bible.

Katanya, kegiatan lelaki berkenaan terbongkar apabila seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun memasuki gerai makan milik datuknya.

"Saya curiga dengan tingkah laku dua lelaki berkenaan dan terus bertanya kepada pelajar terbabit selepas melihat dua lelaki itu ada memberikan sesuatu kepadanya.

"Terkejut saya apabila mendapati ia adalah sebuah kitab Bible yang turut mengandungi pelbagai bahasa dan bentuk tulisan seperti jawi, Tamil dan Inggeris," dakwanya.

Muhammad Fazmin berkata, dia terus menegur perbuatan dua lelaki terbabit dan meminta mereka beredar dan berhenti daripada terus mengedarkan kitab berkenaan.

"Namun setelah berkali-kali ditegur sehingga pihak pengurusan sekolah datang barulah mereka beredar selepas kira-kira 30 minit.

"Saya rasa sepanjang masa itu ada kira-kira 50 buah kitab Bible diedarkan kepada para pelajar termasuk mereka yang beragama Islam," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan