UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.

Selasa, 19 Februari 2013

Perbezaan antara Najib - pembangkang?




Lagu Getaran Jiwa dendangan P. Ramlee dalam filem Antara Dua Darjat begitu berkesan sekali. Ia menggambarkan betapa resahnya jiwa apabila kebahagiaan yang diharapkan akhirnya musnah berkecai atas angkara seseorang yang hidupnya penuh delusi.

Delusi dikaitkan dengan rasa cemburu yang keterlaluan. Akibat cemburu jugalah menyebabkan seseorang itu terus menyimpan dendam, dan sentiasa mencari jalan untuk membalasnya.

Itulah juga yang berlaku dalam kehidupan berpolitik di Malaysia. Akibat delusi, maka pakatan pembangkang terus berusaha menghumban parti yang masih sah kekuasaannya dengan pelbagai dakwaan buruk sehingga suatu ketika rakyat seakan-akan resah dan percaya, hanyalah pakatan pembangkang sahaja parti yang boleh mengembalikan kemakmuran negara.

Pakatan pembangkang dianggap terbaik dan mampu selesaikan banyak masalah termasuk ekonomi. Setelah berlalu hampir lima tahun lamanya, kini pakatan pembangkang resah sekali lagi kerana rakyat semakin sedar haknya. Mereka bangkit beramai-ramai menagih janji, kerana janji itu tidak ditunaikan dan seringkali diputarbelitkan.



PRU-13 semakin hampir, maka sekali lagi pemimpin berkenaan bermain kata-kata. Mereka akan lakukan yang lebih baik lagi apabila rakyat memberikan mereka peluang, yakni mengundi mereka. Namun, kali ini rakyat sudah tidak lagi membuka ruang simpati. Mereka seakan-akan serik dan tidak mahu mengulangi kesilapan.

Dengan menggunakan muslihat agama, Mursyidul Am Pas menulis: Islam itu bukannya singgah pada pepohon atau bumi tetapi kepada manusia. Sedangkan manusia itu ditempatkan oleh Allah SWT di muka bumi.

Untuk menyelamatkan Islam ialah dengan menjaga manusia, untuk menyelamatkan manusia dengan cara menjaga keselamatan bumi. Ia merupakan tugas bertali-tali antara kewajipan menjaga Islam, manusia dan bumi." (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, "Ciptaan daratan, lautan sumber rezeki," Harakah, Bil. 1817: 11-14 Februari 2013).

Sudah empat dekad sebagai wakil rakyat dan lebih dua dekad sebagai Menteri Besar, Mursyidul Am Pas masih merayu sedangkan rakyat semakin terhimpit hidup dalam kesukaran peluang kerja, kekurangan prasarana dan penuh politiking.

Rakyat mula bertanya, kenapa air bersih tidak muncul juga setelah berjanji akan melakukannya sejak 1997; kini rakyat terhimpit dengan warna air sungai seperti teh tarik, kerana hutan di hulu sudah digondol.



Peneroka Felda Paloh 4 semakin khuatir, ladang rakyat yang dijanjikan masih belum menjadi kenyataan. Tapi Menteri Besar terus bermain kata-kata: ''... kepada orang yang lidahnya fasih dan pintar akan mendorong manusia bekerja kuat dan rajin, bukan atas dorongan kerajaan atau mana pihak."

Tidak juga dijelaskan apakah peranan beliau sebagai pemimpin sudah terlaksana sepenuhnya? Apakah kerajaan pimpinannya sudah sediakan ruang dan peluang untuk rakyat mencari rezeki dengan tenang? Semuanya dikelirukan dengan menyatakan bahawa kerajaan yang dipimpinnya telah banyak buat, tapi rakyat tetap bertanya: Mana? Apa? Bila?

Ketara berbeza. Setelah mengambil alih pentadbiran negara pada April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tidak percayakan pakatan pembangkang mampu laksanakan yang terbaik untuk rakyat.

Hari ini, setelah empat tahun memegang tampuk pemerintahan, terlalu jauh perbezaannya. Rakyat sudah dapat melihat hasilnya manakala pakatan pembangkang masih terkial-kial membuat janji baharu sedangkan janji lama masih banyak yang belum ditunaikan.

Perdana Menteri berjaya meletakkan dasar pembangunan yang tegas dan penuh makna. Ini memperlihatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan kuat bekerja, bukannya kuat mencerca.



Langkah pertama yang diambil adalah meletakkan dasar memperkukuhkan semula perpaduan antara kaum yang mula tercabar oleh selekoh politik. Dengan memberikan wajah baharu kepada perpaduan dalam gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, hasilnya lahirlah pelbagai jenama yang membawa faedah meluas.

Kini sudah ada BR1M, SL1M, TR1MA, PR1MA, Klinik 1 Malaysia, Asrama 1 Malaysia, 1M4U, 1MD, dan sebagainya sehingga menyebabkan pakatan pembangkang kian gelisah dan resah.

Di peringkat nasional pula dilakukan pelbagai bentuk perubahan yang kemudiannya dijenamakan sebagai Model Ekonomi Baharu. Peraturan yang dilihat sebagai penghalang dimansuh atau diubahsuai. Kemudiannya dipatenkan menjadi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Ia dirangka secara menyeluruh berdasarkan segmen ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan seterusnya dirangkumkan ke dalam suatu istilah khusus, iaitu Najibnomics.

GTP sudah memasuki fasa kedua. Pengiktirafan antarabangsa diterima dan Najibnomics dilihat sebagai landasan yang betul dan tepat bagi berhadapan dengan kelemahan ekonomi dunia. Kini, meskipun ekonomi dunia masih lembab, menurut banyak pihak, ekonomi Malaysia tetap terus berkembang dan tumbuh sekadar lima peratus setahun.

Perkara ini tidak berlaku dalam negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang. Sebaliknya semakin banyak aset kerajaan negeri dicair dan dipindah milik bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat hasil. Kalau dahulu, kawasan tanah tinggi direzabkan sebagai kawasan tadahan air, sejak terdesak untuk "menunaikan janji" digondolkan bagi mendapatkan hasil balak.



Semuanya kerana tidak mahu mengingatkan impak masa depan. Bila bukit dan tanah tinggi digondol, banyak habitat semula jadi pupus manakala hakisan mudah berlaku. Kesannya, air sungai keruh dan berkeladak manakala hak rakyat mendapatkan sumber air semakin terjejas.

Bukit Pedu sudah bertukar dari kesegaran fauna dan flora menjadi bukit botak. Tanah Tinggi Lojing semakin menyesakkan kehidupan suku kaum pribumi di Hulu Kelantan, mereka sudah kehilangan kawasan rayau untuk mendapatkan sumber rezeki.

Gugusan Paloh, Gua Musang sudah bertukar dari pemilikan peneroka kepada ladang rakyat yang belum pun mendatangkan apa-apa hasil. Janjinya belum tertunai, rumah mampu milik belum juga terbina dan banyak lagi. Semuanya itu menggambarkan situasi ngeri akibat hanya "janji manis" tetapi tidak dilaksanakan meskipun kepercayaan sudah diberi. Kini, kepercayaan itu semakin tipis dan hampir robek.

Hasrat rakyat seringkali diketepikan dan sebaliknya dibangkitkan emosi rakyat untuk bersatu membina semula kekuatan dengan melakukan protes jalanan termasuk bakal menagih tindakan ala-Arab Spring.

Sudah kedengaran, jika pakatan pembangkang kalah, Arab Spring akan berlaku? Tidakkah ini bermakna, pakatan pembangkang sebenarnya yang mencintai kekecohan manakala BN mencintai kehidupan yang aman, damai dan sejahtera?

Rakyat Malaysia sedar, untuk meruntuhkan sesuatu yang sudah ada adalah lebih mudah berbanding untuk mengembalikan keamanan. Pergolakan semula di Tunisia dan Mesir banyak memberikan pengajaran, ada tangan-tangan ghaib yang sedang bermain untuk mencetuskan huru-hara kerana mereka bencikan Islam. Mereka takut kebangkitan Islam bakal menjadi kuasa politik dan ekonomi yang kuat.



Kalaulah itu kaedah yang hendak dilakukan oleh pakatan pembangkang, lebih baik mereka lupakan hasratnya. Rakyat Malaysia amat tidak bersetuju, kerana revolusi lebih banyak mengundang bahaya dan bencana, yang untungnya ialah mereka yang penuh curiga, cemburu dan ingin membalas dendam. Delusi bukan menyebabkan manusia semakin baik, ia boleh menyebabkan kehidupan menjadi semakin sukar dan terhimpit.

Sebenarnya, rakyat masih rasional untuk mengesan secara jelas apa yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang. Hasilnya, dalam tempoh empat tahun (April 2009 - Februari 2013), belum berlaku perubahan kerajaan dan rakyat semakin sedar, yang mana permata dan yang mana pula kaca.

Dalam pakatan pembangkang, hampir setiap masa berlakunya provokasi dan penghinaan. Tetapi, usaha menyembunyikannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya pelbagai pembohongan terserlah. Antara pemimpin tiada muafakat, semuanya mempertahankan pendirian masing-masing dengan berasaskan matlamat politik walaupun terpaksa menjual diri dan maruah.

Pakatan pembangkang sebenarnya sedang berada dalam situasi antara sedar dan koma, kerana delusinya kian hebat dan terdesak. Delusi dalam dirinya sudah tidak terkawal, dan mungkinkah PRU-13 menjadi medan mereka dikuburkan?

Lebih 13 juta pengundi akan menentukannya, maka bermacam-macam ketakutan dan janji manis yang bakal mereka berikan. Mereka takut delusi itu akhirnya menjadikan nyawa politik pakatan pembangkang ditamatkan secara tragik. Itulah sebabnya, PRU-13 dianggap nyawa dan ibu kepada semua parti politik yang bakal memasuki arena pertandingan merebut kuasa.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan